KUALA LUMPUR 24 Okt. – Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan duit syiling baru siri ketiga dan wang kertas baru Malaysia siri keempat sebagai usaha berkala memperkukuhkan ciri-ciri keselamatan terkini bagi menangani ancaman pemalsuan mata wang.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, melalui pengenalan duit syiling baru siri ketiga juga Bank Negara Malaysia dijangka dapat menjimatkan kos pengeluaran duit syiling sebanyak 49 peratus setahun.

"Penjimatan ini disebabkan oleh penggunaan logam asas yang dipilih, teknologi penempaan, dan spesifikasi teknikal yang lebih baik daripada siri-siri duit syiling terdahulu,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Donald menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang ingin tahu rasional pengeluaran siri ketiga duit syiling dan siri keempat wang kertas baru Malaysia serta jumlah kos, pembekal dan di mana mata wang itu diperbuat.

Beliau juga berkata, kontrak bekalan mata wang siri baru itu telah ditenderkan secara terbuka kepada syarikat pencetak wang kertas antarabangsa yang mempunyai reputasi tinggi dan berwibawa. – Bernama - www.utusan.com.my