Fulham buat Blues keciciran mata lagi
LONDON – Chelsea melepaskan peluang terbaik untuk merapatkan jurang mata dengan pasukan kelompok atas Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan Manchester City apabila sekadar seri 1-1 dengan Fulham di Stamford Bridge semalam.
Skuad bimbingan Andre Villas-Boas berada pada landasan terbaik untuk bergembira pada musim perayaan apabila Juan Mata meletakkan pasukan tuan rumah mendahului pada minit ke-47
Bagaimanapun, Fulham bangkit menerusi jaringan penyamaan Clint Dempsey pada minit ke-56.
Ia merupakan keputusan seri buat kali ketiga berturut-turut yang dialami skuad Blues.
Chelsea yang amat berharap untuk dapat terus memberi tentangan merebut kejuaraan liga, namun keputusan seri tersebut bakal memberi kesukaran buat mereka termasuk turun ke tangga kelima liga jika Arsenal berjaya menewaskan Wolves pada perlawanan hari ini.
Sebaliknya, satu mata yang diraih semalam memberi kelegaan buat Fulham, yang berjaya menjarakkan diri lima mata dari zon penyingkiran.
Selepas bermula hambar pada separuh masa pertama, Chelsea mendahului dua minit selepas rehat apabila pemain perancang dari Sepanyol, Mata berjaya melakukan rembatan yang menewaskan penjaga gol Fulham, David Stockdale.
Fernando Torres dan Frank Lampard diberi peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama, untuk membuktikan keupayaan mereka selepas sekadar memanaskan bangku simpanan dalam beberapa perlawanan penting sebelum ini.
Bagaimanapun Torres terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol pada minit ke-16 yang merupakan peluang terbaik Chelsea untuk mendahului perlawanan.
Fulham, yang dibelasah 0-5 oleh United minggu lepas menyamakan kedudukan apabila pemain dari Amerika Syarikat, Dempsey menyudahkan hantaran Bryan Ruiz.
Villas-Boas mencuba senjata terakhirnya apabila memasukkan Didier Drogba pada minit ke-71 menggantikan Daniel Sturridge, namun ternyata kemasukan penyerang veteran itu tidak berjaya mengubah kedudukan buat Chelsea yang terpaksa keciciran mata sekali lagi. – AGENSI - www.utusan.com.my